KUALA LUMPUR, 27 September- Seramai 196 warga asing dan tiga warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata tangkapan dilakukan hasil pemeriksaan ke atas 45 premis perniagaan dan rumah kedai serta kawasan sekitar di jalan berkenaan.
"Pemeriksaan melibatkan 400 warga asing dan warga tempatan. Daripada jumlah itu, 196 warga asing dan tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki menggajikan pendatang tanpa izin di restoran dan kedai makan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu bersama lima agensi penguatkuasaan di ibu negara.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 16 tahun hingga 60 tahun melibatkan warganegara Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina dan Sri Lanka.
"183 orang yang ditahan adalah lelaki, 15 perempuan termasuk tiga majikan, serta seorang kanak-kanak lelaki.
"Tangkapan imigresen melibatkan pelbagai kesalahan. Kebanyakan kesalahan ialah tiada pas yang sah dan ini melanggar Seksyen 61C Akta Imigresen 1993.
"Kesalahan lain, tinggal lebih masa bawah Seksyen 51C akta sama dan bawah perkara 39 B Peraturan-peraturan Imigresen 1993," katanya.
Operasi bersepadu bawah inisiatif 'KL Strikeforce' itu digerakkan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) KL, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam operasi sama, DBKL turut membuat sitaan 52 unit meja dan 204 unit kerusi kerana menghalang kawasan awam yang menyalahi Akta Parit dan Bangunan 1974.
Selain itu, KPDN KL mengeluarkan kompaun atas kesalahan penandaan harga dan alat timbang sukat yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan jumlah keseluruhan kompaun RM5,500.
"Pihak SSM pula membuat pemeriksaan ke atas 45 premis perniagaan dengan tujuh kompaun dikeluarkan atas kesalahan papan tanda di bawah Seksyen 30(1) Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 17A(2) Akta Kaedah Pendaftaran 1957," ujarnya.