fb fb fb fb fb

Sindiket keldai akaun tumpas

Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan operasi melibatkan 59 serbuan.

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Sindiket penipuan membabitkan penggunaan kad ATM keldai akaun, berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), dalam Op Khas Kad ATM yang dijalankan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi yang berlangsung dari 29 hingga 31 Julai lalu melibatkan 59 serbuan, dengan kerjasama Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti lokasi-lokasi pengeluaran wang yang mencurigakan.

Pulau Pinang mencatatkan serbuan tertinggi dengan 11 operasi, diikuti Kuala Lumpur (24), Sabah (8), Perak (5), Pahang (4), Selangor (3), serta masing-masing 2 serbuan di Negeri Sembilan dan Sarawak.

"Hasil serbuan membawa kepada rampasan 925 kad mesin pengeluaran automatik (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM392,266, 100 telefon, 32 kad sim, 16 beg, 55 dokumen butiran peminjam, borang permohonan pinjaman dan salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), maklumat syarikat serta semakan CTOS." katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut dirampas 10 fail dokumen butiran peminjam wang dan borang permohonan, dua buku cek, satu resit cek bernilai RM90,961.24, lima kereta serta masing-masing sebuah mesin kira, kotak, komputer riba, tablet dan mesin pencetak.

Seramai 71 individu berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi terbabit. Mereka terdiri daripada 55 lelaki dan 8 wanita warga tempatan, serta 8 lelaki warga asing (4 Bangladesh, 1 China, 1 Nigeria, 1 Myanmar dan 1 Indonesia).

Sebanyak 42 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420, Seksyen 424, Seksyen 424A dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan selain Seksyen 5(2), Seksyen 15A(1)(b) dan Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

"Setakat ini, 16 individu sudah dituduh di mahkamah membabitkan enam individu mengikut Akta Kesalahan Kecil 1955 dan 10 individu mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan, manakala 55 individu sudah dibebaskan dengan jamin polis sementara siasatan dilengkapkan," katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak meminjamkan akaun bank atau kad ATM kepada pihak lain bagi mengelak ia digunakan bagi tujuan jenayah.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersubahat atau membantu kegiatan haram tersebut.

TUN JULIA MOHD TAHIR