IPOH, 8 Ogos - Seorang pekerja ladang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, selepas didapati bersalah membunuh rakan sekerjanya, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, kini berusia 28 tahun, disabitkan membunuh lelaki warga Bangladesh, Md Ovaidul dalam kejadian pada tahun 2018.
Keputusan itu dibuat Hakim Su Tiang Joo selepas meneliti hujahan pendakwaan dan pembelaan, selain keterangan daripada 24 orang saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 6 Januari 2020.
Mangsa, berusia 32 tahun ketika kejadian, bekerja bersama-sama tertuduh di ladang lembu milik keluarga tertuduh di Kampung Gajah, Perak Tengah.
Dalam insiden itu, mangsa dibunuh sebelum mayatnya dilupuskan ke dalam Sungai Kinta.
Pemeriksaan polis menemukan mayat dalam keadaan reput, dengan kaki terikat bersama-sama sebuah motosikal.
Hasil siasatan forensik, terdapat kesan kelar pada leher serta dua luka di belakang kepala mangsa yang dipercayai akibat hentakan objek tumpul.