PUTRAJAYA, 5 Januari - Sindiket perjudian dalam talian didalangi warga China yang menjana pendapatan mencecah RM3 juta sebulan berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi dua serbuan, pada Khamis.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata serbuan dilakukan di apartmen mewah di Bangsar, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor berdasarkan aduan dan risikan.
Beliau berkata 14 lelaki dan seorang wanita berumur antara 19 dan 39 tahun ditahan dalam serbuan itu, dengan sembilan daripada lelaki berkenaan merupakan rakyat China, termasuk ketua sindiket.
Mengulas modus operandi sindiket yang dipercayai telah beroperasi kira-kira enam bulan itu, katanya mereka melakukan promosi melalui aplikasi Whatsapp yang dihantar secara rawak kepada pelanggan di Australia, Hong Kong dan China.
“Pautan akan dihantar kepada pelanggan yang bersetuju untuk membuat pertaruhan,” katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Jafri Embok, antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM18,000, 33 unit telefon bimbit, 15 unit komputer riba, 11 unit monitor, enam unit router wifi, lima unit komputer dan sebuah kenderaan Toyota Alphard.
Katanya, semua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.