LABUAN, 5 Januari- Sebuah kapal kargo ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan kerana melakukan aktiviti kimpalan di perairan sini tanpa kebenaran, Rabu lalu.
Seramai 14 kru warga Malaysia dan Indonesia termasuk nakhoda serta ketua jurutera turut ditahan dalam kapal yang bersauh di kedudukan 0.63 batu nautika barat laut Pulau Papan, sekitar pukul 7.00 malam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwan Hadi Idros berkata, kapal kargo itu berjaya dikesan oleh pasukannya ketika melakukan rondaan bot menerusi operasi Op Sejahtera 1/2006, Op Khas Kuda Laut 2/2020 dan Op Tiris 3.0.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke jeti maritim Labuan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491 B (ii), jka didapati bersalah kompaun sebanyak RM50,000 berserta denda.