JOHOR BAHRU, 23 Disember - Polis Johor Bahru Selatan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menangkap dua lelaki bersama-sama sejumlah dadah bernilai lebih RM210,000 dalam tiga serbuan berasingan, pada Sabtu lalu.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 40 tahun itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah serta dadah.
Ketua Polis daerah ACP Raub Selamat memaklumkan, rampasan dadah melibatkan kira-kira 1.2 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 25 gram pil eramin 5 dan 3.8 gram ketamin selain merampas wang tunai serta sebuah kereta.
"Modus operandi dengan menjadikan rumah teres dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatam. Kegiatan sindiket ini telah aktif sejak bulan Oktober 2024," kata Raub Selamat kepada pemberita.
Kedua-dua suspek kini direman hingga 28 Disember bagi membantu siasatan mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis juga sedang mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.