KUANTAN, 11 November - Polis Pahang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki ganja seberat 238.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5.34 juta dalam serbuan secara berasingan di daerah Bentong dan Maran.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 4 November lalu hasil maklumat orang awam ke atas sebuah kereta yang di parkir di kawasan tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), jalan lama Bentong-Bukit Tinggi, dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tiada pemandu atau penumpang di dalam kereta terbabit.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 140.4 kilogram dadah disyaki jenis bunga ganja di dalam kereta tersebut.
Polis kini giat mengesan seorang lelaki warga tempatan beralamat di Johor Baharu yang merupakan pemilik kenderaan tersebut hasil semakan pada nombor pendaftaran.
"Dia letak sahaja kereta di situ dalam keadaan mencurigakan. Selepas beberapa lama tiada siapa datang ambil, orang awam menyalurkan maklumat kepada polis dan hasil pemeriksaan menemui dadah dalam kenderaan tersebut", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
Dalam satu lagi serbuan, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Maran arah Kuala Lumpur, pada 6 November lalu.
Suspek dipercayai bertindak sebagai 'transporter' sindiket tersebut dan polis turut merampas 98 kilogram disyaki dadah jenis bunga ganja di dalam sebuah kereta.
Siasatan lanjut mendapati suspek mengaku menerima upah antara RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap penghantaran, selain didapati positif dadah jenis amphetamine dalam ujian saringan awal air kencing serta mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Keseluruhan 238.4 kilogram dadah yang dirampas itu boleh digunakan hampir 500,000 pengguna.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.