KUANTAN, 11 November -Polis Pahang mengesahkan wanita warga Indonesia yang ditemukan dalam keadaan mereput di bawah pelepah sawit di Telemong, Bentong minggu lalu, dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil pemeriksaan forensik mendapati, mangsa berusia 41 tahun itu dibunuh hampir dua minggu sebelum mayatnya dijumpai.
“Mangsa bukan tinggal di Telemong, tetapi dipercayai menetap di Sentul, Kuala Lumpur.
Dia datang ke kawasan ladang dan berjumpa dengan suspek sebelum berlaku pertikaian yang membawa kepada pembunuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Tiga lelaki warga asing yang bekerja di ladang berkenaan, masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an, ditahan bagi membantu siasatan.
Pada awalnya, polis menahan dua lelaki sejurus selepas penemuan mayat pada minggu lalu, sebelum menahan seorang lagi suspek petang semalam.
Polis kini sedang menyiasat punca serta kaedah pembunuhan, selain telah memohon perintah reman terhadap semua suspek hari ini.
Pada 3 November lalu, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan reput di bawah pelepah sawit di kawasan ladang Telemong, Bentong.
Antara barangan milik mangsa yang ditemui berhampiran lokasi ialah sehelai seluar sukan hijau, sepasang selipar hitam, baju hud hitam dan seutas jam tangan.
Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sebelum disiasat semula sebagai kes bunuh.