PUTRAJAYA, 11 November -Satu sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas “Op Serkap”.
Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya semalam selepas menerima maklumat risikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dua lelaki tempatan ditahan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur sekitar pukul 12 tengah malam.
Kedua-dua suspek menaiki bas dari Terminal Larkin, Johor Bahru, sebelum dikesan menuju ke Seri Kembangan, Selangor.
"Pasukan imigresen menahan mereka di sebuah rumah yang disyaki menjadi lokasi persembunyian sindiket.
Serbuan awal pagi itu menemukan lapan pasport milik warga Vietnam serta dua cap keselamatan disyaki palsu," katanya.
Jelas Datuk Zakaria, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua tahun lalu.
Siasatan awal mendapati mereka menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand yang mahu tinggal lebih masa di Malaysia.
Setiap dokumen palsu dijual pada harga antara RM2,500 hingga RM3,000.
Sebanyak tujuh individu berusia 20 hingga 35 tahun ditahan, terdiri daripada empat warga tempatan dan tiga wanita Vietnam.
Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya.
Datuk Zakaria menegaskan, JIM akan terus memperkukuh operasi bagi membanteras kegiatan pemalsuan dokumen dan penggajian warga asing tanpa izin.
“Jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara, selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI,” katanya.