fb fb fb fb fb

Sindiket dadah berskala besar tumpas, syabu bernilai RM13.6 juta dirampas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan

SHAH ALAM, 20 Ogos -Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah berskala besar dalam satu operasi yang membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 425.25 kilogram (kg).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM13.6 juta di pasaran.

Menurut beliau, operasi dilaksanakan pada 18 Ogos lalu antara pukul 11.20 pagi hingga 12.40 tengah hari itu berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 33 hingga 64 tahun.

"Kesemua suspek berperanan sebagai 'transporter', penjaga stor serta koordinator sindiket ini. Tiga daripada mereka pernah ditahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, malah salah seorang mempunyai 13 rekod lampau,” katanya pada sidang media khas, di sini.

Dalam serbuan pertama di Puchong, polis menemui 103.87 kg syabu di dalam sebuah kereta. Serbuan kedua pula menemui 37.21 gram syabu di sebuah rumah sekitar Pusat Bandar Puchong.

Serbuan ketiga berjaya merampas 321.02 kg syabu di sebuah rumah teres sekitar Bandar Puchong Jaya, manakala serbuan keempat di tempat letak kereta LRT Sri Petaling menahan seorang lagi suspek yang dipercayai bertindak sebagai koordinator kumpulan.

Hasil ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis ketamin, sementara dua lagi negatif. Kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga 25 Ogos ini.

Menurut Datuk Hussein, sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Dadah yang dirampas ini mampu merosakkan lebih 2.1 juta individu. Kami percaya ia dibawa masuk dari negara jiran di utara sebelum dipasarkan di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak, malah berkemungkinan turut dibawa masuk ke Kalimantan, Indonesia," ujarnya.

Selain itu, pelbagai aset disita termasuk dua buah kereta, barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai, menjadikan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan meningkat kepada RM13.74 juta.

Beliau turut mendedahkan sindiket ini merupakan sebahagian daripada rangkaian besar yang pernah ditumpaskan PDRM pada Mac lalu.

"Dengan kejayaan ini, kita percaya berjaya melemahkan struktur sindiket antarabangsa yang beroperasi dalam kuantiti besar. Namun, masih ada beberapa individu yang diburu polis," katanya lagi.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

TETITIA YUSOFF