KUCHING, 20 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, merampas 12 juta batang rokok putih tidak bercukai dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Taman Perindustrian Demak Laut, 29 Julai lalu.
Pengarahnya, Norizan Yahya berkata, nilai keseluruhan barang sitaan termasuk duti dan cukai dianggar bernilai RM11.88 juta.
"Serbuan kira-kira pukul 4.00 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai kastam dari Bahagian Penguatkuasaan, Unit Operasi Darat Kuching hasil maklumat yang diterima daripada Zon Risikan Ibu Pejabat.
"Seorang lelaki tempatan berusia 50an yang merupakan pengurus merangkap pemilik gudang turut ditahan," katanya.
Beliau mendedahkan modus operandi yang digunakan suspek ialah menjadikan premis sebagai tempat penyimpanan dan pengangkutan barang-barang larangan.
"Sebahagiannya pasaran dalam, kalau Borang Kastam No.8 hendak dihantar ke Indonesia, tapi seolah-olah barang itu tak dijelaskan, tak dibayar cukai dan barang ada yang tak dihantar ke Indonesia, tapi kekal di dalam premis, jadi ini merupakan satu kesalahan," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.