KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah taman hiburan berhampiran Bandar Sungai Long, Kajang pada 18 Ogos lalu, hasil risikan selama dua minggu serta aduan awam.
Serbuan pukul 1.40 petang itu melibatkan kekuatan 35 pegawai pelbagai pangkat dan berjaya menahan 46 pekerja asing tanpa dokumen sah daripada 123 individu yang diperiksa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki Indonesia, tiga lelaki Bangladesh serta seorang wanita Thailand berusia 23 hingga 47 tahun.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Millenium Beranang untuk siasatan lanjut, manakala empat Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut / Foto FB JIM
Dalam operasi berasingan pada 19 Ogos lalu, JIM turut menyerbu sebuah kilang perindustrian serta pasar raya di Balakong dan Puchong.
Hasil pemeriksaan ke atas 64 individu, 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 18 hingga 49 tahun ditahan.
“Mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan. Terdapat yang cuba melarikan diri dan bersembunyi, namun berjaya digagalkan oleh anggota serbuan,” jelasnya.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.
Menurut JIM, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi dan menggaji PATI, malah tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras kegiatan tersebut.