SEBERANG JAYA, 21 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 38 buah kenderaan mewah yang dianggar bernilai RM10 juta menerusi Op Luxury atas kesalahan tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan yang sah.
Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifli Ismail, alasan yang paling banyak diberikan ialah terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans terbabit.
"Antara yang disita termasuk Mercedes-Benz, BMW, Audi, Rolls-Royce, Porsche dan Ferrari yang didapati tiada LKM serta insurans antara enam bulan hingga lebih dua tahun, namun tetap digunakan di jalan raya.
Keseluruhan kenderaan disita tidak membayar cukai jalan berjumlah RM77,402," katanya pada sidang media di pejabat JPJ Pulau Pinang, di sini.
Tambahnya, kebanyakan pemilik kenderaan terbabit merupakan pemilik syarikat dan ahli korporat.
Kes disiasat bawah Seksyen 23 dan 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987.