fb fb fb fb fb

Sindiket dadah bernilai RM10.8 juta tumpas, dua suspek ditahan

Foto fail

JITRA, 19 Jun - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah terbesar dengan merampas 120.46 kilogram (kg) dadah bernilai RM10.8 juta.

Pemangku Pengarah JSJN Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya turut menahan dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 37 dan 35 tahun dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.

Operasi dilaksanakan bersama Office Of The Narkotik Control Board (ONCB) Thailand.

"Dadah ini mereka perolehi dari Thailand, di Pattaya dan diseludup masuk ke negara kita untuk pasaran utara. Kita percaya dadah ini adalah juga untuk pasaran antarabangsa. Kedua-dua suspek ini diberi upah hingga RM20,000 sebagai penghantar dadah. Mereka ini juga kita katakan sebagai 'transposrter' dalam sindiket ini," katanya dalam sidang media, di sini.

Dalam operasi pada 15 Jun lalu, pihaknya telah menahan sebuah kereta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarintin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Hasil pemeriksaan, polis menemui 160 bungkusan palstik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis Heroin Base seberat 59.20 kg.

Dadah tersebut disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk penumpang .

Tindakan susulan, sebuah lagi kenderaan ditahan disebuah stesen minyak, Lebuhraya Utara Selatan, Bukit Kayu Hitam.

Pemeriksaan menemui 155 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis Heroin Base seberat 61.26 kg.

Polis juga menemui dadah MDMA iaitu serbuk dadah bagi pembuatan jus minuman seberat 2.37 kg.

Turut di sita, tiga buah kereta yang dipercayai digunakan suspek untuk membawa dadah.

Kedua-dua suspek ditahan reman hingga Ahad ini dan kes disiasat bawah sekyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

TETITIA YUSOFF