fb fb fb fb fb

Op Serkap: Sindiket pemalsuan dokumen imigresen tumpas

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen imigresen yang dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen imigresen yang dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dalam satu Operasi Serkap di sebuah rumah kediaman di Kampung Pandan, semalam.

Serbuan yang bermula sekitar pukul 8 malam itu adalah hasil risikan selama sebulan berikutan tangkapan pada Julai 2024.

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, sindiket tersebut didalangi sepasang suami isteri warga Indonesia yang menjalankan operasi pemalsuan dari kediaman mereka sendiri.

“Siasatan awal mendedahkan cap keselamatan palsu diperoleh dari rangkaian kenalan di Jakarta, Indonesia, manakala pembayaran dilakukan secara tunai dan juga atas talian.

"Antara perkhidmatan haram yang ditawarkan sindiket termasuk cetakan pas lawatan kerja sementara palsu (MALPASS) sebanyak RM50, cap keluar masuk imigresen palsu melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura seanyak RM30 dan pemadaman dakwat keselamatan dalam pasport, serendah RM20," katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Modus operandi mereka turut melibatkan penggunaan orang tengah yang mengambil dokumen pelanggan dan menyerahkannya semula selepas diproses, dengan caj keseluruhan sekitar RM100 setiap transaksi.

Hasil serbuan membawa kepada penahanan lima warga Indonesia berumur antara 35 hingga 65 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam aktiviti sindiket berkenaan.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah pasport antarabangsa, mesin pencetak karbon dan timbul cetak, cop imigresen palsu pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura, cop palsu Kedutaan Besar Indonesia, pelekat MALPASS dan hologram palsu serta wang tunai dan sebuah kenderaan.

Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan penjara antara lima hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka turut berdepan pertuduhan lain termasuk gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, serta memiliki pasport yang mengandungi cap dan pas imigresen palsu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN