KOTA KINABALU, 9 September - Satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya ditumpaskan Polis Sabah dengan rampasan ketamin seberat 20.7 kilogram serta pelbagai harta bernilai lebih RM4.2 juta.
Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah itu turut menyaksikan penahanan empat individu, termasuk dalang utama sindiket berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bermula pada 4 September lalu apabila sepasukan polis menyerbu sebuah premis di Taman Sri Kepayan.
Serbuan tersebut menemui 20 bungkusan plastik hitam berlabel “Tie Guan Yin” yang disorok dalam dua guni hijau, disahkan mengandungi dadah dengan anggaran nilai pasaran lebih RM1 juta.
“Kejayaan ini adalah susulan kepada operasi sebelum ini yang membanteras lebih 40 kilogram syabu. Kita menasihatkan orang ramai supaya terus memberikan kerjasama kepada JSJN khususnya dan PDRM amnya, dengan menyalurkan maklumat serta bantuan dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di Sabah," katanya.
Polis kemudian melakukan tangkapan susulan di Penampang pada 5 September, menahan empat individu dipercayai anggota sindiket tersebut.
Siasatan awal mendapati seorang suspek lelaki berusia 36 tahun, pengurus sebuah syarikat kurier, merupakan dalang utama sindiket. Dia dipercayai menggunakan perkhidmatan syarikat itu untuk menyeludup dadah melalui kargo udara.
Selain dadah, polis turut menyita aset mewah bernilai RM3.18 juta termasuk lima kereta mewah, dua televisyen 60 inci, tujuh pembesar suara, satu set komputer, 10 beg tangan berjenama, serta wang tunai RM4,670.
Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah lebih RM4.21 juta.
Ujian saringan air kencing mendapati hanya dalang utama positif dadah, manakala dua lagi suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.