BINTULU, 9 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mancha Ata dalam kenyataan berkata, ancaman itu dibuat melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon yang berdaftar di Indonesia, namun motif sebenar masih dalam siasatan.
"Polis memandang serius ancaman ini kerana LNG Bintulu adalah merupakan sasaran penting keutamaan satu dalam negara.
"Pihak polis masih berusaha mengenal pasti identiti subjek yang membuat ugutan dan pada masa yang sama meningkatkan kawalan keselamatan pada tahap tertinggi di kawasan LNG Bintulu", katanya menerusi kenyataan.
Setakat ini, keadaan adalah tenang dan terkawal. Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304.