fb fb fb fb fb

Sindiket curi kabel di Selangor tumpas: 16, termasuk 5 penjawat awam ditahan

Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan sebahagian barangan rampasan dalam satu sidang media di Sepang

SEPANG, 27 Mei- Polis menahan 16 individu termasuk lima penjawat awam yang dipercayai terlibat dalam sindiket curi kabel aktif sejak setahun lalu di sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata penahanan itu hasil operasi khas bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dengan kerjasama Polis Kontinjen Selangor.

“Dalam serbuan ini, polis berjaya menahan enam lelaki serta merampas beberapa barang kes seperti tiga kenderaan, kabel yang dibakar, mesin gergaji, penimbang besi dan beberapa telefon bimbit,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada 20 Mei lalu, IPD Sepang menahan tiga suspek, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang direman hingga 27 Mei.

Seterusnya, pada 22 Mei, polis IPK dan IPD membuat tangkapan susulan melibatkan enam lagi suspek termasuk lima penjawat awam, manakala pada 23 Mei seorang lagi suspek ditahan di Sungai Besi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE