KAJANG, 27 Mei- Empat daripada lima suspek berjaya ditahan polis dalam satu operasi khas susulan kes samun rumah pesara di Semenyih, Selangor pada 4 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek menggunakan taktik penyamaran sebagai anggota polis dalam kejadian pada 4 Mei, kira-kira pukul 5.00 pagi.
Kesemua suspek berusia antara 33 hingga 38 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan iaitu di Dengkil, Bukit Puchong, Bukit Raja dan Kajang, pada 24 Mei lalu.
Dalam serbuan tersebut, sebuah kereta, tiga telefon bimbit serta pakaian dipercayai digunakan dalam kejadian, dirampas.
"Suspek yang memakai pelitup muka dan dua daripadanya lengkap dengan vest polis, melarikan barang kemas, dua telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM500," kata Datuk Hussein dalam satu kenyataan.
Kesemua suspek direman hingga hari ini, manakala seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Dalam pada itu, Datuk Hussein menegaskan bahawa seorang lagi suspek masih dalam buruan polis.
Orang ramai dinasihat supaya lebih berhati-hati dan sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758.