KOTA BHARU, 26 Mei - Polis Kelantan hari ini mengesahkan jumlah sebenar emas yang diminta oleh empat suspek dalam kes penculikan dan pemerasan membabitkan seorang pemilik kedai emas di Palekbang, Tumpat dekat sini ialah sebanyak 80 kilogram dengan anggaran nilai RM40 juta.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu dimaklumkan oleh mangsa yang berusia 44 tahun dalam keterangannya kepada pihak polis.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek sudah lama memeras ugut mangsa yang berasal dari Tumpat.
"Mangsa mendakwa suspek telah lama menuntut wang perlindungan daripadanya namun dia tidak berani membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya," kata beliau ketika dihubungi.
Mohd Yusoff berkata mangsa juga mendakwa telah menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai jutaan ringgit kepada suspek sejak sekian lama.
"Siasatan yang dijalankan mendapati kes ini lebih kepada perbuatan memeras ugut dan penculikan ke atas mangsa adalah disebabkan dia enggan memberikan wang atau emas seperti yang diminta oleh suspek," katanya.
Pada 20 Mei lepas, tular klip video yang memaparkan kenderaan mangsa dihalang sebelum dia dipaksa menaiki kereta Suzuki Swift berwarna kelabu. - BERNAMA