GEORGE TOWN, 27 Mei- Dua lelaki, termasuk seorang warga asing, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di Seberang Perai Utara.
Komander PPM Wilayah Satu, PPM Wilayah Satu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Rusley Chi Ari, memaklumkan tangkapan itu hasil serbuan Unit Risikan Marin Pulau Pinang bersama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor di sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Selamat, Tasek Gelugor semalam.
“Pemeriksaan di gudang itu membawa kepada rampasan 160 karton minuman keras tidak bercukai dan sebuah alat kawalan jauh,” katanya.
Nilai rampasan dianggarkan RM103,804.80 termasuk cukai. Kedua-dua suspek, berusia 58 dan 36 tahun, kini direman hingga 3 Jun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Seberang Perai Utara mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.