(Antara barang rampasan dalam serbuan oleh jabatan Imigresen)
PUTRAJAYA, 27 Januari- Sindiket pengeluaran pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) didalangi warga Bangladesh berjaya ditumpaskan hasil serbuan Jabatan Imigresen terhadap empat premis sekitar Selangor, semalam.
Ketua Pengarah migresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam serbuan berkenaan lima warga Bangladesh dan dua rakyat tempatan termasuk seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang warga asing berkenaan ditahan.
Antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah 62 pasport pelbagai negara, 17 pasport Bangladesh palsu, 13 PLKS palsu, wang tunai sebanyak RM234,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut disita.
Khairul Dzaimee berkata kesemua individu terbabit disiasat di bawah Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
"Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua warga tempatan pula sedang menjalani siasatan," katanya pada sidang media di sini.
(Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (tengah) bersama antara yang dirampas
hasilserbuan Jabatan Imigresen terhadap empat premis sekitar Selangor, semalam)
Mengulas lanbjut beliau berkata sindiket itu menubuhkan syarikat pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa, selain majikan yang memerlukan pekerja asing.
"Sindiket terbabit menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah atau sebarang dokumen perjalanan untuk dibekalkan kepada syarikat atau majikan yang terdesak memerlukan tenaga kerja warga asing.
"Pekerja asing perlu membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 untuk mendapaktan PLKS," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, sejak beroperasi lapan bulan lalu sindiket berkenaan telah mengaut keuntungan hampir RM900,000.