KUALA LUMPUR, 29 Januari - Polis menahan empat individu disyaki dalang sindiket penipuan jual beli barangan kemas dalam talian di Lembah Klang pada Khamis lalu.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua suspek ditahan termasuk dua wanita berusia 26 hingga 45 tahun.
Mereka disyaki berperanan sebagai dalang utama dan pemilik keldai akaun.
"Turut dirampas adalah enam unit telefon bimbit, dua kad atm, satu kad akses dan tujuh helai salinan perbualan Whatsapp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian.
"Siasatan yang dilakukan mendapati sindiket itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti penipuan sejak pertengahan tahun lalu," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Menurut Noorsiah, sindiket turut mewujudkan kumpulan (group) melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa.
Katanya mangsa yang berminat dengan barang kemas yang diiklankan akan dihubungi oleh ahli sindiket dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu.
"Namun setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima oleh mangsa," katanya lagi.
Tambahnya, melalui penahanan sindiket tersebut, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM17,100.
Menurutnya, semua individu terbabit ditahan reman selama dua hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi mencegah kes sedemikian daripada terus berleluasa dan mengambil langkah-langkah seperti melakukan transaksi pembelian dalam talian hanya melalui platform jualan sah bagi memastikan hak sebagai pembeli sentiasa dilindungi.
"Sentiasa berwaspada apabila membuat sebarang transaksi dalam talian dengan individu yang tidak dikenali di laman sosial yang menawarkan pelbagai tawaran barangan dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran," katanya.