fb fb fb fb fb

Cubaan seludup dadah seberat 29.8 kg gagal, tokan dan 'transporter' ditahan

ALOR SETAR, 27 Januari- Seorang tokan dadah dan dua lelaki warga Thailand bersama 29.8 kilogram ganja ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuh Raya Sultan Abdul Halim.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dua suspek warga Thailand berusia 45 dan 34 tahun dipercayai bertindak sebagai 'transporter'.

Ketika serbuan, polis menjumpai dua guni daun mampat dipercayai ganja di dalam semak berhampiran rumah berkenaan.

"Salah seorang suspek yang berusia 45 tahun itu, dia telah membawa polis ke arah satu kawasan semak berhampiran kawasan rumah tersebut dan beliau telah menunjukkan dua guni yang berwarna kuning yang telah diletakkan di dalam semak.

Jadi, hasil pemeriksaan di dalam guni tersebut telah menemukan 29 ketulan mampat masing-masing dibaluti dengan pita pelekat lut sinar disyaki dadah jenis ganja," kata Ahmad Shukri kepada pemberita RTM pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM74,675 itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui jalan darat.

Ganja dianggar boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih.

Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai RM6,000.

Ujian air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan 'tetrahydrocannibinol'.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


(Kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton antara barang rampasan menerusi serbuan)

Media Baharu