IPOH, 27 Januari- Seorang pemungut besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman tersebut terhadap R. Saravanan, 41 tahun selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K. Gobi Nathan, 44 tahun.
Saravanan didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah restoran, Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor antara pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang pada 5 Julai 2015.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T. Vijayandran.
(Pesalah, R. Saravanan, 41 tahun diiringi dua anggota polis di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh)
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung sejak Disember 2021.
Media sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tujuh tetakan di kepala dan kedua-dua belah tangan akibat diserang dua lelaki bersenjatakan parang di lorong Laluan Klebang Restu, Ipoh.
Mangsa yang berlumuran darah cuba melarikan diri berikutan penemuan kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.