fb fb fb fb fb

Peniaga didakwa atas tuduhan tuntutan palsu Perkeso

AYER KEROH, 26 Januari- Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerja 2.0 berjumlah RM1.12 juta.

Tertuduh Mohd Eszahar Mansor, 38 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat mempedaya Pegawai Perkeso dengan mengunci masuk “key-in” 19 pekerja Syarikat Eszahar Maju Enterprise melalui Sistem Penjana Kerjaya 1.0 yang mana mereka bukanlah pekerja syarikat terbabit pada 10 Oktober 2020.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh sekali lagi mengunci masuk “key-in” 49 dan 35 pekerja dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 serta 2.0 yang mereka bukanlah pekerja syarikat terbabit pada 6 Oktober 2020 dan 21 April 2021 di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

(Tertuduh Mohd Eszahar Mansor (tengah))

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan selain memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM Negeri Sembilan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork pula memohon agar tertuduh diberi jaminan rendah memandangkan pendapatannya hanya RM5,000 sebulan selain isteri masih menyambung pelajaran, menanggung dua anak masih bersekolah serta menjaga ibu bapa.

Media Baharu