fb fb fb fb fb

Sindiket bawa PATI guna media sosial dipantau rapi

Foto FB Maritim Malaysia

PUTRAJAYA, 13 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memandang serius aktiviti sindiket yang mengiklankan perkhidmatan membawa masuk dan keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi media sosial.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, kegiatan haram ini menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan dan melibatkan warga asing tanpa dokumen sah.

“Sindiket ini menawarkan perkhidmatan kepada warga asing tanpa dokumen sah untuk keluar dan masuk ke negara ini menggunakan laluan laut tidak diwartakan. Ia jelas melanggar undang-undang dan amat membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami tidak akan berkompromi. Tindakan lebih agresif termasuk meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan di kawasan sempadan maritim negara,” tambahnya.

Maritim Malaysia turut menggerakkan pemantauan udara dan meningkatkan pemantauan radar menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA). Pada tahun 2024, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya digagalkan melibatkan 236 tangkapan.

Orang awam khususnya komuniti nelayan dan penduduk pesisir diminta bekerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan ke talian kecemasan 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia terdekat.

SITI NOORAIN ABDULLAH