fb fb fb fb fb

Pemandu bas mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 15 penuntut UPSI

Foto RTM

GERIK, 13 Jun - Pemandu bas didakwa atas 16 pertuduhan memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku sekitar pukul 1:15 pagi pada 9 Jun lepas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli.

Mohd Amirul menghadapi 15 pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 42 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan N. M Moganaraj Mithra.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah Majistret Gerik membenarkan ikat jamin sebanyak RM19,000 dengan syarat tambahan termasuk semua kelas lesen memandu digantung serta diwajibkan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berlangsung.

Kes akan disebut semula pada 14 Julai depan bagi tujuan lantikan peguam.

NORAINI BINTI WAHIB