fb fb fb fb fb

Guna pasukan taktikal geledah rumah Tan Sri, SPRM sita aset bernilai RM16 juta

SPRM menyita pelbagai barangan mewah dan berharga bernilai kira-kira RM16 juta dalam satu operasi khas berkaitan siasatan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai barangan mewah dan berharga bernilai kira-kira RM16 juta dalam satu operasi khas berkaitan siasatan penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

Penggeledahan melibatkan sebuah kediaman milik individu bergelar Tan Sri yang dipercayai menyimpan barangan berharga termasuk senjata dalam bilik rahsia.

Bagi tujuan keselamatan dan keberkesanan operasi, SPRM turut menggerakkan pasukan taktikal khas, Anti Corruption Tactical Squad (ACTS).

“ACTS digerakkan bagi menjalankan penggeledahan di kediaman terbabit selepas dipercayai wujud bilik rahsia. Pasukan ini juga bertanggungjawab mengiringi pegawai penyiasat serta barangan yang disita ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan.

Antara barangan yang disita dalam operasi tersebut termasuk 84 beg tangan berjenama, dianggarkan bernilai RM3 juta, 11 unit jam tangan mewah, bernilai kira-kira RM1 juta, jongkong, syiling dan patung emas, dianggarkan bernilai RM3 juta, berlian dan barangan kemas, bernilai sekitar RM4 juta dan satu set alatan kasino berjenama mewah, dianggarkan bernilai RM150,000.

SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang dipercayai digunakan untuk menyimpan senjata dan peluru.

Bagaimanapun, tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit.

Sementara itu, proses rakaman keterangan terhadap Tan Sri berkenaan ditangguhkan ke satu tarikh lain atas faktor kesihatan individu tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN