fb fb fb fb fb

Simpan senjata api secara haram, 11 pengawal keselamatan ditahan

11 pucuk senjata api ditahan oleh Pasukan Penguatkuasaan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman bersama Unit Penguatkuasaan Lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor

SHAH ALAM, 9 Februari- 11 pengawal keselamatan berusia 25 hingga 53 tahun ditahan selepas menyimpan senjata api jenis ‘pump gun’ secara haram sejak dua tahun lalu di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Penahanan dilakukan oleh Pasukan Penguatkuasaan Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman bersama Unit Penguatkuasaan Lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 6 dan 7 Februari lalu.

Berikutan itu polis berjaya merampas 11 pucuk senjata api daripada sebuah syarikat kawalan keselamatan ekoran kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Semasa operasi dijalankan semua orang kena tuduh (OKT) ini telah tamat tugas sebagai pengawal keselamatan di bank dan menyimpan bahan api di rumah seperti bawah katil, almari pakaian dan dalam kereta.

"Siasatan mendapati mereka membawa balik menggunakan motosikal dengan cara tak selamat seperti menggalas bahan api tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Bagaimanapun menurut semakan turut mendapati syarikat itu pernah dikesan melakukan kesalahan sejak tahun 2015 namun lebih kepada kes terpencil.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek akan didakwa di mahkamah atas kesalahan itu dalam tempoh terdekat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI