fb fb fb fb fb

Bakal pengantin mengaku tidak bersalah, cederakan warga emas

Mohammad Zakaria Mohd Razali didakwa menyebabkan kececederaan terhadap seorang warga emas berusia 73 tahun

SEPANG, 9 Februari- Seorang bakal pengantin lelaki yang merancang untuk mengadakan perkahwinannya minggu depan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas pada 30 Januari lalu.

Tertuduh, Mohammad Zakaria Mohd Razali berusia 26 tahun membuat pengakuan itu setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Mengikut pertuduhan Mohammad Zakaria merupakan seorang peniaga didakwa menyebabkan kececederaan terhadap seorang warga emas berusia 73 tahun, di Jalan Taman Putra Prima, Puchong antara pukul 9.00 dan 9.20 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi, memohon jaminan RM10,000 dikenakan bagi pertuduhan tersebut.

Namun, peguam, Fazilawati Hussin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit hati dan darah tinggi.

Selepas mendengar permohonan itu, Majistret Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 30 Januari lepas, tular di media sosial seorang warga emas yang juga pesara dipukul seorang lelaki tanpa sebab ketika mangsa dalam perjalanan dari Brickfield, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk berjumpa kawan.

Mangsa kemudian dikatakan meneruskan perjalanan namun suspek mengekori keretanya dan apabila tiba di Putra Perdana, suspek menyekat kereta mangsa sebelum menarik warga emas itu keluar serta menumbuknya di bahagian mata selain menendangnya bertubi-tubi.

Warga emas itu kemudian ditinggalkan di lokasi tersebut sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri serta patah di bahagian bawah tulang mata kiri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI