TEMERLOH, 9 Februari- Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak, pada Januari lalu.
Tertuduh, Chin Fang Fung, 49 tahun membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Temerloh, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah merompak dompet milik seorang wanita berusia 57 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Bahagia Makmur, Temerloh, pada pukul 2.50 petang, 31 Januari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dari tarikh tertuduh ditangkap.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh sama, kira-kira pukul 1.19 tengah hari, tertuduh bersama seorang lagi rakan yang masih bebas, telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 39 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Bendera, Mentakab.
Tertuduh dilapor merompak dan membawa lari beg tangan wanita tersebut, dengan sengaja menyebabkan cedera atau ketakutan pada wanita terbabit.
Susulan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dari tarikh tertuduh ditangkap dan satu sebatan.