KUALA KRAI, 9 Februari- Seorang lelaki warga emas maut selepas bom buatan sendiri meletup ketika menceroboh masuk ke kawasan bangunan sarang burung walit Bukit Kuah, Kampung Pemberian, Manek Urai, Kuala Krai, hari ini.
Mayat lelaki berusia 60-an itu ditemukan dalam keadaan terbaring di lokasi kejadian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan awal mendapati mangsa bertindak memotong pagar bahagian belakang bangunan sebelum memasuki kawasan tersebut.
"Mangsa telah mengeluarkan objek disyaki bom tangan buatan sendiri bagi meletupkan pintu hadapan bangunan berkenaan.Bagaimanapun, bom meletup secara tiba-tiba menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian."
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat," kata kenyataan itu.
Menurutnya, warga emas tersebut merupakan bekas kontraktor binaan yang telah diupah oleh pemilik untuk membuat bangunan tersebut.
Pihaknya difahamkan bahawa berlaku pertikaian berkaitan hutang dengan pemilik bangunan itu, yang masih belum menjelaskan bayaran upah kepada suspek dan menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati.
Tambah Datuk Muhamad Zaki, polis menerima panggilan berkait dengan kejadian itu pada pukul 8.25 pagi.
Hasil pemeriksaan di lokasi telah menjumpai lima unit bom buatan sendiri dan daripada jumlah itu tiga unit adalah jenis besi dan dua adalah jenis polivinil klorida (PVC).
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan siasatan menyeluruh terus dijalankan berhubung kes berkenaan.