KOTA TINGGI, 23 September – Tiga lelaki termasuk dua beradik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan bangkai seekor harimau belang minggu lepas.
Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47, dan Mohamad Nazrol Tomiran, 28, selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama menyimpan bangkai harimau belang betina atau Panthera Tigris, spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Ke-10 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesalahan dilakukan di sebuah stesen minyak di Felda Tenggaroh, Mersing pada 6.10 pagi, 16 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan tujuh tahun sekiranya mereka gagal membayar denda.
Manakala 11 barang rampasan termasuk bangkai haiwan berkenaan dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.