fb fb fb fb fb

Pembantu tadbir didakwa guna penyata gaji palsu RM1,610

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 23 September – Seorang pembantu tadbir Majlis Daerah Labis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan menggunakan penyata gaji palsu tiga tahun lepas.

Tertuduh, Nurul Nadiah Azlan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen dua penyata gaji Februari dan April 2022 atas nama dirinya berhubung butiran tunggakan gaji serta elaun kritikal berjumlah RM1,610, yang diketahui sebagai dokumen palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Majlis Daerah Labis, Segamat pada Februari dan April 2022.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Alice Voon May Ling, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zafirah Norizan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

GRACE AISYAH KEDAYAN