fb fb fb fb fb

Sifat individu antara faktor buli dalam kalangan kanak-kanak

Foto Portal Aduan Buli

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Masalah buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak berpunca daripada pelbagai faktor termasuk sifat individu, keluarga, pengaruh media sosial serta sikap masyarakat yang memandang ringan isu tersebut.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nurul Hidayat Ab Rahman menjelaskan bahawa kanak-kanak yang gagal mengawal emosi, bersikap impulsif atau mudah marah lebih berisiko untuk terlibat dalam gejala buli.

Menurut beliau, faktor keluarga seperti kurang perhatian dan kasih sayang turut menjadi punca, selain pengaruh kandungan media sosial yang mudah ditiru oleh golongan muda.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya masyarakat yang tidak menganggap buli sebagai isu serius. Aduan kanak-kanak kepada ibu bapa atau pihak sekolah sering dianggap remeh, malah kadang-kadang kes hanya diselesaikan secara dalaman tanpa tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Dr. Nurul Hidayat, sekolah dan institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab besar kerana garis panduan melalui pekeliling Kementerian Pendidikan telah jelas menerangkan tindakan menangani salah laku buli.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan pihak sekolah melaksanakan tanggungjawab boleh membawa kepada implikasi undang-undang.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak memandang ringan setiap aduan anak-anak. Perkara itu perlu dibincangkan dengan pihak sekolah secara serius dan sekiranya kejadian berulang, laporan polis wajar dibuat.

Isu buli menurutnya bukan sekadar salah laku, tetapi ancaman terhadap hak kanak-kanak untuk hidup selamat dan sejahtera. Sehubungan itu, masyarakat perlu lebih cakna dan memainkan peranan dalam membanteras budaya tersebut.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI