KUANTAN, 1 Julai- Polis Pahang telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian melibatkan seorang kerabat diraja Pahang yang didakwa menikam seorang peniaga di sebuah kelab malam di sini.
Kertas siasatan yang telah lengkap itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 23 Jun lalu dan polis sedang menunggu arahan seterusnya daripada pihak pendakwa raya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, polis sudah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan.
"Kes ini kita buka siasatan bawah Sekyen 324 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah kita hantar kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Pihak AGC telah pulang semula untuk kita lengkapkan siasatan dan kita telah lengkapkan siasatan dan kita serah balik kepada pihak AGC. Kita menunggu keputusan lanjut daripada pihak pendakwa raya," katanya.
Dalam kejadian awal pagi 8 Mei lalu, seorang kerabat Diraja Pahang dikatakan telah menikam seorang lelaki berusia 30 tahun dengan sebilah pisau lipat di sebuah kelab malam sehingga mengalami kecederaan teruk.
Kertas siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuantan di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan di sini.
Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Negeri Perak dengan pangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SACP).
Manakala Pemangku Ketua Polis daerah Kuantan adalah Superintenden Mohd Adli Mat Daud sebelum ini beliau adalah Timbalan Ketua Polis daerah Kuantan.
Siasatan tikam peniaga melibatkan kerabat diraja lengkap, dihantar ke AGC
