IPOH, 1 Julai - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan melibatkan pelbagai barangan termasuk dadah dan peranti rokok elektronik, dalam empat operasi berasingan sejak 27 Mei lalu.
Menurut Pengarah Kastam negeri Mohd Nadzri Ariffin, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM5.56 juta, dengan jumlah cukai yang terlibat mencecah RM5.34 juta.
"Rokok elektronik pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM896,800 dan dengan jumlah duti cukai sebanyak RM530 ,670.40, manakala nilai jubin dianggarkan sejumlah RM70, 600 dengan anggaran jumlah cukai yang telah dibuat RM45,890,"
Pada 5 Jun lalu, JKDM telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah bungkusan di Petaling Jaya, Selangor dan menemukan lapan bungkusan plastik mengandungi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 9.8 kilogram (kg) bernilai lebih RM966,000.
Sehari sebelum itu, pihaknya juga membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang dan menemukan sejumlah 55,320 unit peranti rokok elektronik pelbagai jenama dan 706 keping jubin marmar.
Sementara itu pada 27 Mei lalu, Kastam Perak merampas sebuah kereta berjenama tanpa permit import di dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Selangor dianggar bernilai RM2.2 juta.
Manakala pada 29 Mei, RM1.03 juta nilai karkas babi dirampas dalam dua kenderaan sejuk beku di Pengkalan Hulu.
Kenderaan itu dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen dan tidak dirujuk ke pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Kesemua kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 133(1)(a), Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.