fb fb fb fb fb

Remaja OKU didakwa atas tuduhan bunuh warga emas di Tanah Merah

Foto hiasan

TANAH MERAH, 1 Julai - Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) intelektual didakwa di Mahkamah Majistret Tanah Merah, Kelantan hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas, pada 19 Jun lalu. 

Tiada sebarang pengakuan direkod selepas pertuduhan dibaca di hadapan Masjistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan bunuh ke atas Shamsudin Mohamed,  60-tahun, di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh, Tanah Merah pada pukul 6.00 petang.

Pendakwaan dibuat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun, maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Dalam pendakwaannya, Siti Hajar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana pertuduhan atas kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Kes ditetapkan 2 September ini untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan perubatan. 

Media sebelum ini melaporkan lelaki warga emas maut dipercayai selepas dipukul dengan sebatang besi.

Dalam kejadian 6.00 petang itu, mangsa parah di muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas rebah dipukul, dipercayai seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

TETITIA YUSOFF