fb fb fb fb fb

PGA rampas 200 haiwan ternakan di Jeli, dokumen disyaki palsu

FOTO Briged Tenggara PGA Rasmi

JELI, 1 Julai- Sebanyak 200 haiwan ternakan terdiri daripada 166 ekor kambing dan 34 ekor biri-biri berjaya dirampas Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu pemeriksaan terhadap sebuah treler di tepi jalan Kampung Pak Mud, di sini, pada 27 Jun lalu.

Rampasan dibuat sekitar pukul 11.45 malam ketika anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring WAWASAN Kelantan, setelah mendapati kenderaan berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Briged Tenggara PGA menerusi satu hantaran di laman Facebook memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati haiwan ternakan itu berada di bahagian belakang treler, manakala dokumen yang ditunjukkan oleh pemandu berhubung pemilikan haiwan tersebut didapati meragukan dan disyaki palsu.

"Pemandu, seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun, dipercayai bertindak sebagai penghantar ternakan ke pasaran tempatan.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM625,000, termasuk kenderaan treler yang digunakan dalam aktiviti tersebut," menurut hantaran tersebut.

Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE