KUALA LUMPUR, 19 Mei - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah melengkapkan siasatan berhubung kemalangan maut yang meragut sembilan nyawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak mahkamah dan pemandu lori terbabit, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, telah pun dituduh.
“Siasatan telah selesai dan pemandu telah dibawa ke mahkamah. Dia telah di tuduh. Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan siasatan yang telah melengkapkan kertas siasatan dengan begitu cepat lengkap .
Tambah beliau, siasatan turut mendapat kerjasama baik daripada agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM dan beberapa agensi berkaitan.
“Kita juga menerima kerjasama yang baik daripada agensi lain seperti JPJ, PUSPAKOM dan sebagainya bagi melengkapkan siasatan dan membolehkan pertuduhan dibuat terhadap pemandu ini di mahkamah,” jelasnya.
Menurut beliau, kini terserah kepada pihak mahkamah untuk meneruskan proses perbicaraan, yang akan dijalankan secara berkala selepas jaminan diberikan kepada majikan tertuduh.
Dalam kejadian pada pagi 13 Mei lalu, sebuah trak yang membawa anggota FRU dirempuh sebuah lori membawa muatan batu ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam, Perak.
Kemalangan tersebut meragut sembilan nyawa anggota FRU, manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.
Antara yang terkorban dalam kejadian itu ialah S. Perumal, Mohd Roslan Abdul Rahim, Mohd Pozli Jaudin, Nurit Pandak, Amiruddin Zabri, Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Muhamad Akmal Muhamad, Damarrulan Abdul Latif dan Akmal Wafi Annuar.
Pada 17 Mei lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Yusri turut menegaskan bahawa pihak PDRM bersama JPJ akan terus komited menjalankan operasi bersepadu terhadap kenderaan perdagangan termasuk lori dan bas, bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa dipatuhi di jalan raya.