fb fb fb fb fb

Op Gegar: 46 warga asing ditahan di pusat hiburan

Antara wanita warga asing yang digempur dalam Op Gegar dua hari lalu/Foto Facebook JIM Sarawak

KUCHING, 19 Mei – Seramai 46 warga asing ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di tiga pusat hiburan sekitar Serian, Bau dan Kuching, Sabtu dan Ahad lalu.

JIM berkata, operasi bersepadu itu dilakukan hasil risikan dan melibatkan 18 anggota pelbagai pangkat.

Daripada 71 individu yang diperiksa, seramai 46 ditahan terdiri daripada 42 wanita dan tiga lelaki warga Indonesia serta seorang wanita warga Filipina.

“Ketika operasi dijalankan, terdapat cubaan meloloskan diri oleh beberapa individu ke kawasan hutan berhampiran premis, namun berjaya digagalkan pasukan penguat kuasa,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, pemilik premis turut dikenakan Notis Saman Kepada Saksi untuk membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN