PUTRAJAYA, 19 Mei- Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan akhir pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 33, terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down, dikenali sebagai Bella.
Penangguhan dibuat selepas pihak pembelaan mengemukakan permohonan untuk memasukkan laporan polis yang dibuat oleh ibu Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, sebagai keterangan baharu dalam rayuan tersebut.
Peguam Siti Bainun, Haijan Omar, memohon agar laporan polis bertarikh 25 Julai 2024 itu dimasukkan sebagai bukti tambahan, serta memanggil Ismanira untuk memberi keterangan lanjut.
Selain itu, pembelaan turut memohon untuk memanggil semula seorang saksi utama pendakwaan bagi disoal balas.
Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa, memaklumkan bahawa pihaknya baru menerima notis usul tersebut dan memerlukan masa untuk membalas permohonan itu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Dr. Choo Kah Sing menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran rayuan utama.
Sebelum ini, pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000, serta melaksanakan 200 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.