KUALA LUMPUR, 30 Jun – Siasatan kes tangkapan warga Bangladesh disyaki terlibat rangkaian aktiviti militan antarabangsa dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, ia melibatkan sebahagian daripada 36 orang yang ditahan, manakala selebihnya telah diusir keluar dari negara.
“Setakat ini, kita telah menahan 36 warga asing dari Bangladesh. Ada yang ditahan di bawah SOSMA dan beberapa lagi masih dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Datuk Seri Mohd Khalid memaklumkan, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung siasatan kes berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan radikal termasuk Al-Qaeda dan Harkat-ul-Jihad al-Islami Bangladesh (HuJI-B), yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa siri pengeboman di negara asal mereka.
Difahamkan, kesemua individu berkenaan masuk ke Malaysia dengan menyamar sebagai pelajar dan pekerja asing sebelum kegiatan mereka berjaya dikesan pihak berkuasa.