fb fb fb fb fb

Shuhaily janji teruskan siasatan kes Faisal Halim

Mohd Shuhaily Mohd Zain/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited meneruskan risikan dan siasatan berhubung kes simbahan asid yang menimpa pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim tahun lalu, meskipun tiada perkembangan terbaharu setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan kes tersebut tidak pernah ditutup dan usaha mengumpul maklumat baharu akan terus dilaksanakan.

"Kami menggunakan kaedah sama untuk menyelesaikan kes sensitif lain termasuk kes Faisal Halim. Walaupun tidak semua kes serupa, ada yang berjaya diselesaikan, sementara yang lain masih tertangguh.

"Saya berjanji kes ini tidak pernah ditutup. Kami akan terus menyiasat dengan harapan dapat memperoleh maklumat baharu," katanya pada sesi libat urus bersama media di pejabatnya di Bukit Aman di sini hari ini.

Jelas beliau, kes itu kini dikendalikan oleh pasukan khas daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

Faisal Halim, 26, menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei tahun lalu di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara di sini menyebabkan kecederaan lecur tahap empat pada beberapa bahagian badan.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd Shuhaily memaklumkan JSJ Bukit Aman akan menjalankan audit untuk memperhalusi statistik kadar jenayah yang direkodkan sepanjang tahun lepas sebagai usaha menilai semula prestasi bahagian JSJ di peringkat kontinjen seluruh negara.

Beliau menjelaskan audit tersebut bertujuan untuk memahami perubahan dalam indeks jenayah, terutamanya di negeri-negeri yang menunjukkan penurunan.

"Saya ingin mengkaji semula semua statistik kejayaan atau penurunan indeks ini di seluruh negara, bukan untuk menghukum, tetapi untuk memastikan relevansi dengan persepsi keselamatan masyarakat. Itu adalah komitmen saya tahun ini," katanya.

Hasil laporan audit tersebut akan dibentangkan kepada Ketua Polis Negara dan dibawa ke peringkat pembuat dasar serta pemimpin negeri.

Pada masa sama, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 80 peratus kes jenayah berprofil tinggi yang dilaporkan pada tahun lepas iaitu 40,631 kes daripada keseluruhan 58,225 kes.

Namun, trend jenayah indeks menunjukkan peningkatan hampir 6,000 kes atau 11.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA