fb fb fb fb fb

Shamsul Iskandar, Albert Tei direman 6 hari

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 November - Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan reman terhadap dua individu iaitu Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei yang disyaki terkait kes tohmahan pemberian rasuah di Sabah.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Fatin Muneerah Sopian selepas mendengar permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Kedua-dua mereka ditahan reman selama enam hari bagi membantu melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kedua-dua individu tersebut tiba di kompleks mahkamah pada pukul 9.02 pagi dengan mengenakan pakaian lokap berwarna oren dan diiringi pegawai SPRM. 

Proses permohonan reman itu berlangsung lebih dua jam dan kedua-duanya meninggalkan kompleks mahkamah pada pukul 12.10 tengah hari dengan menaiki kenderaan SPRM. 

Semalam, SPRM menahan mereka dan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong bagi membantu siasatan kes dakwaan pemberian rasuah. 

Individu wanita tersebut iaitu Sofia Rini sudah direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE