MELAKA, 30 November – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas 850 kotak rokok bernilai RM7.3 juta termasuk duti dan cukai dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat Klang, Selangor, bulan lalu.
Timbalan Pengarah JKDM Melaka, Bakri Abd Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan kontena berkenaan ditahan pada 31 Oktober lalu sekitar pukul 12.05 tengah hari.
Foto JKDM Melaka
"Pemeriksaan awal terhadap dokumen manifest mendapati dagangan diisytiharkan sebagai “850 cartons furniture parts”, namun pihak JKDM menemui 850 kotak berisi lebih 9.7 juta batang rokok seludup. Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM783,520, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat mencecah RM6.54 juta," katanya.
Tambah Bakri, penyeludupan rokok terbabit dilakukan melalui pengisytiharan palsu terhadap kontena dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.