fb fb fb fb fb

3 warga Jepun ditahan cuba seludup 43kg bunga ganja bernilai RM4.2 juta di KLIA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 November -Tiga lelaki warga Jepun ditahan ketika cuba menyeludup masuk dadah disyaki bunga ganja seberat 43.36 kilogram bernilai lebih RM4.2 juta, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 November lepas.

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad dalam kenyataan berkata, penahanan tiga lelaki berumur 19 hingga 42 tahun itu dibuat selepas enam bagasi milik mereka diimbas dan pemeriksaan mendapati beberapa bungkusan plastik yang mengandungi tumbuhan disyaki dadah jenis bunga ganja.

"Pemeriksaan mendapati bunga ganja itu disorokkan di dalam bungkusan makanan kering di dalam enam bagasi milik lelaki terbabit.

"Barang kes seterusnya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan itu.

Zulkifli bekata kes disiasat bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan dan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan, serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

TETITIA YUSOFF