fb fb fb fb fb

Serangan buaya di Tatau: Anggota badan manusia ditemui dalam perut buaya

Beberapa anggota badan manusia ditemukan dalam perut seekor buaya yang ditangkap di Sungai Semanok, Foto / RTM

BINTULU, 1 Oktober - Beberapa anggota badan manusia ditemukan dalam perut seekor buaya yang ditangkap di Sungai Semanok, Tatau di sini, hari ini.

Laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menyatakan antara yang ditemui, kepala, rahang, perut dan paha.

Bagaimanapun belum ada pengesahan sama ada anggota badan tersebut milik Jeffery Masing Win, mangsa serangan buaya Sabtu lepas.

Dalam insiden tersebut, mangsa dilaporkan mandi di Sungai Semanok bersama abangnya sebelum disambar buaya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.00 malam.

Pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat hari ini, penduduk kampung berjaya menangkap seekor buaya, disyaki menyerang mangsa.

Pihak Sarawak Forestry Corporation dibantu pasukan bombda dan beberapa agensi lain, kemudiannya melakukan proses pembedahan terhadap buaya berkenaan.

Ia telah membawa kepada penemuan beberapa bahagian tubuh manusia dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN