BOTA, 11 November - Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut, manakala tiga rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Seri Iskandar, di sini malam tadi.
Mangsa berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi Bomba Mustaza Shahfri berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 8.19 malam.
"Setibanya di lokasi kemalangan didapati sebuah kenderaan telah terbabas di bahu jalan dan tiada mangsa tersepit," katanya, hari ini.
Menurutnya mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Manakala tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Changkat Melintang, Bota.